Selasa, 26 Oktober 2010

LELAKI KENA TENGOK


sumber :Mingguan Wanita


Risiko kesihatan lelaki perlu beri perhatian

Kesihatan secara am melambangkan kesejahteraan fizikal, mental, spiritual dan sosial. Kesihatan mutlak lelaki berbeza dengan wanita walaupun dari segi keperluan asas ia lebih kurang sama. Lelaki mempunyai keperluan kesihatan yang tersendiri. Dari perspektif gender, lelaki memainkan peranan sosial yang mencabar seperti kedudukan utama dalam masyarakat dan juga keluarga.

Secara tidak langsung, ia membentuk sahsiah lelaki yang dikatakan sebagai ‘egosentrik’.Kajian menunjukkan lelaki sebenarnya terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit. Jangka hayat lelaki kurang lima hingga enam tahun dari wanita.
Lelaki yang berumur 45 hingga 54 tahun tiga kali lebih kerap mati akibat serangan sakit jantung jika dibandingkan dengan wanita. Kadar kematian akibat penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, penyakit buah pinggang, strok dan kanser lebih tinggi jika dibandingkan dengan wanita. Dari perspektif psikologi, lelaki lebih terdedah dengan tekanan dan terlibat dengan keganasan rumah tangga serta di tempat kerja.

Malah, sebilangan besar lelaki membunuh diri akibat tekanan menunjukkan jumlah lelaki yang mengalami masalah kesihatan mental semakin bertambah.

Dari aspek sosial, lelaki lebih terasing dari keluarga kerana komitmen pada pekerjaan. Ini mengakibatkan mereka tidak dapat bermesra dengan anak-anak dan isteri serta mudah terjerat dengan hubungan luar. Lelaki juga boleh mengalami kanser reproduktif seperti kanser pundi prostat dan kanser buah zakar.

Bagaimanapun, tidak banyak lelaki tahu mengenainya dan cara untuk mencegahnya. Oleh yang demikian memang wajar lelaki diberi perhatian dalam pengendalian kesihatannya melalui program-program tertentu. Cara ini dapat menggalakkan mereka menjalani pemeriksaan asas tentang kesihatan dan mendapat maklumat serta bimbingan tentang isu tertentu mengenai kesihatan mereka.

Selain itu, lelaki perlu peka dengan kesihatan diri. Mengetahui tentang tahap kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah dan pengambilan ECG sekiranya perlu untuk mengenal pasti keadaan jantung dan tahap kolesterol dalam darah.

Pemeriksaan buah zakar penting untuk mengetahui gejala kanser atau ketumbuhan buah zakar. Pemeriksaan pundi prostat dan ujian darah untuk mengesan penyakit pundi prostat dan tahap glukosa dalam darah untuk mengesan kencing manis. Kesemua pemeriksaan ini perlu dilakukan secara berkala. Sekiranya ada masalah, rawatan atau rujukan sewajarnya kepada pakar perubatan perlu dilakukan.

Di samping pemeriksaan kesihatan mereka perlu diberi pendedahan tentang penjagaan kesihatan melalui makanan dan cara hidup yang sihat. Ini termasuk pemakanan seimbang dan sihat, senaman yang sesuai mengikut umur dan kaunseling kesihatan secara kelompok atau pendedahan kepada ceramah kesihatan lelaki.

Kesuburan lelaki

Lelaki dengan ciri-ciri kesuburan mempunyai anggota reproduksi yang berfungsi dengan normal. Mereka mempunyai buah zakar yang menghasilkan sperma yang mencukupi dan salur sperma yang tidak terkandas. Selain itu, mereka juga dapat menyalurkan sperma tanpa sekatan semasa ejakulasi.

Pundi prostat, pundi seminal dan pundi cowpers yang berfungsi normal dapat menghasilkan air mazi yang mencukupi untuk menampung sperma dan zakar yang berfungsi normal. Pada masa yang sama, mereka dapat mencapai ereksi untuk disalurkan ke dalam faraj semasa persetubuhan dan keupayaan klimaks supaya air mani dapat dipancutkan ke dalam faraj.

Cabaran kesuburan lelaki ialah apabila lelaki itu tidak mempunyai sperma dalam air mani (azoospermia), tidak mempunyai bilangan sperma yang mencukupi atau tidak mempunyai bilangan sperma yang aktif atau yang berbentuk normal. Masalah kesuburan juga berlaku apabila lelaki itu tidak dapat menyalurkan zakar ke dalam faraj atau gagal mencapai ejakulasi. Kira-kira 40 peratus daripada lelaki mengalami masalah kesuburan. Jumlah ini dijangka meningkat kerana kurang kepekaan lelaki terhadap kesihatan kesuburannya.

sumber : Klinik Lelaki ( Mingguan Wanita )

1 ulasan:

  1. hulamakhai... ni serious ni.... kene prihatin... jangan ambil mudah wahai kaum-kaum ku...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...