Ahad, 10 Oktober 2010

sTAILo...Rambut perang bukan dungu

Rambut perang bukan dungu




LEWAT kebelakangan ini nama Paris Hilton, 29, menghiasi paparan media tempatan. Sepatutnya dia dijangka menjejak kaki ke Malaysia bagi memeriahkan pelancaran koleksi beg tangan jenamanya sempena musim luruh/sejuk 2010 di Bintang Circle Pavilion Kuala Lumpur. Namun, jawapannya hampa.
Sememangnya kehadiran Paris di ibu negara dinantikan sebahagian besar para peminatnya yang mula teruja selepas media cetak dan elektronik menguar-uarkan kemunculan Paris secara meluas.
Barangkali sesiapa pun enggan melepaskan momen manis bertemu dengan Paris yang sinonim dengan kontroversi, cinta dan ceritera fesyen.
Namun, keterujaan itu tidak kekal lama apabila gara-gara kecewa dilarang memasuki Jepun, dia membatalkan semua lawatannya ke Asia.
Bagaimanapun menerusi laman sosial Twitternya, selebriti kelahiran New York, Amerika Syarikat (AS) itu mengakui terkilan tidak dapat bertemu peminat Malaysia yang terpaksa ditunda ke satu tarikh lain.
Pihak berkuasa Jepun bertegas menahan Paris daripada melawat negara itu ekoran menghadapi pertuduhan memiliki dadah di Las Vegas.
Berdasarkan laporan agensi berita Kyodo, Paris telah menarik balik permohonannya untuk memasuki Jepun tetapi tidak dapat dipastikan sama ada pelantun lagu Stars Are Blind itu diarahkan meninggalkan Jepun atau melakukannya secara sukarela.

PENAMPILAN dan fesyen Paris sering menjadi ikutan gadis muda.


Menurut Pegawai Kanan Imigresen Jepun, Masaaki Nakayama sesi soal siasat telah dilakukan terhadap Paris, memandangkan Jepun sama sekali tidak akan berkompromi dan membenarkan mana-mana individu yang pernah disabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah memasuki negara itu.
“Saya hendak berlepas. Balik ke rumah sekarang. Sangat kecewa kerana terlepas peluang menemui peminat di Asia. Saya berjanji akan datang semula tidak lama lagi. Saya sayang anda semua! Sayang, Paris,” luah gadis berambut perang itu dalam laman Twitternya.
Biarpun Paris tidak berkesempatan menjejakkan kaki di Malaysia, majlis pelancaran beg tangan Paris Hilton dan minyak wangi koleksinya, Tease, tetap diteruskan. Para tetamu disajikan dengan pertunjukan beg tangan dalam suasana meriah di Pavilion Kuala Lumpur minggu lalu.
Tidak dapat bertemu mata secara langsung, bagaimanapun Paris muncul menerusi tayangan rakaman video dengan ucapan penghargaan pendek pada majlis tersebut. Bicara anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu, dia mengagumi kecintaan rakyat Malaysia terhadap fesyen. Sebab itu dia berusaha sebaik mungkin menampilkan rekaan dan konsep beg tangan ideal untuk peminat di seluruh Asia.
“Usah bimbang kerana dalam masa terdekat saya mencari peluang berkunjung ke Indonesia dan Malaysia.
“Insiden yang berlaku di luar kawalan dan sukar dielakkan,” tutur Paris yang mengajak peminat memiliki produk jenama Paris Hilton yang dijual di aras dua Pavilion Kuala Lumpur.
Paris atau nama sebenarnya Paris Whitney Hilton terkenal di seluruh dunia kerana dia merupakan salah seorang pewaris rangkaian hotel antarabangsa, Hotel Hilton milik ayahnya Richard Hilton. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya-raya dan memiliki aset bernilai jutaan ringgit, secara tidak langsung ia menyebabkan Paris gemar berfoya-foya dan berbelanja sakan.
Sejak remaja lagi, Paris dan adik-beradiknya sudah dimanja dengan wang ringgit dan mendiami di rumah mewah serta suite eksklusif di Waldorf-Astoria Hotel, Manhattan dan Beverly Hills.
Transisi hidup Paris
Masyarakat sekeliling pernah menyifatkan Paris hanya menghabiskan duit keluarga tanpa berusaha melakukan sesuatu demi masa depannya.
“Secara jujur saya tidak suka dikaitkan dengan pewaris Hilton. Sehingga ke hari ini saya masih mendengar kata-kata yang kurang enak tentang diri saya. Persepsi segelintir individu menyangka gadis berambut perang seperti saya tidak bijak dan lembab adalah tidak benar.
MENGENAKAN busana rona kuning, Paris nampak anggun bersama aksesori fesyen lengkap.


“Saya tidak pernah menyesal memiliki rambut perang malah, berbangga kerana ia menawan seperti mendiang Marilyn Monroe atau Puteri Diana,” kata Paris yang gemar menonton persembahan Aaron Spelling dan program Beverly Hills serta Models Inc.
Mengulas mengenai gelaran ‘celebutante’ (selebriti popular bukan kerana bakat tetapi kerana kekayaan dan kontroversi) yang dilemparkan kepadanya Paris tidak cepat melenting.
Pinta penggemar kek cawan itu, berikan dia peluang untuk membuktikan sesuatu. Dia mengakui sikapnya kini jauh berbeza berbanding sebelum ini. Dia menjadi lebih bertanggungjawab dan serius dalam setiap kerja yang dilakukan.
Atas faktor menginjak usia 19 tahun, Paris yang obses berfesyen melibatkan diri dalam dunia peraga.
Memiliki susuk tubuh yang langsing dan wajah jelita memudahkan Paris mencapai impian tersebut. Lantas dia mendaftarkan diri dengan agensi model Donald Trump’s, T Management.
Dia juga pernah berkerjasama dengan Ford Models di New York, Nous Model Management di Los Angeles dan Premier Model Management serta Models 1 Agency di London.
Antara kempen iklan yang pernah dijayakannya ialah Guess, Tommy Hilfiger, Christian Dior dan Marciano.
“Berkat kerjaya model dan berlakon untuk beberapa buah produksi saya telah mengumpul wang sedikit demi sedikit sehingga berjaya melancarkan koleksi beg tangan jenama saya sendiri. Saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini.
“Bukan mudah mengusahakan perniagaan, apatah lagi produk kita menembusi pasaran luar. “Saya akui banyak mendapat tunjuk ajar daripada ayah dan mendengar kata hati. Saya juga mengembangkan jenama fesyen saya dengan melancarkan koleksi minyak wang,” terang Paris yang bercita-cita membuka rangkaian hotelnya sendiri.
Nampaknya kesungguhan Paris membuktikan dia kini bukan lagi sosialit dungu dan gilakan kontroversi murahan seperti fasa remajanya dulu.
Meskipun mampu membayar tenaga kerja yang ramai bagi memastikan produk beg dan minyak wanginya terjual di pasaran, tetapi anak kepada pasangan Rick dan Kathy itu tidak melepaskan peluang untuk sama-sama mempromosikan produknya.
Tambah penulis buku Confessions of an Heiress : “Saya tidak pernah bosan mengembara ke seluruh dunia untuk mempromosi sendiri produk saya.”

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...