Ahad, 10 Oktober 2010

Spa atas Laut

Spa atas Laut


GOLDEN Palm Tree Resort & Spa baru menerima tetamu sejak dua bulan lalu.


SUDAH bosan menjalani sesi spa yang dikelilingi suasana rimba dan hutan konkrit? Mungkin tiba masanya untuk anda merasai pengalaman ‘dimanjakan’ di atas laut pula.
Di Spa Escapade yang terletak kira-kira satu kilometer dari pantai Bagan Lalang di Sepang Gold Coast, Selangor, anda ada sebab untuk berasa gembira. Berbeza dengan kebanyakan suasana spa tipikal lain, spa di bawah kendalian resort percutian lima bintang, Golden Palm Tree Resort & Spa Sdn. Bhd., itu menawarkan panorama indah vila-vila di atas air.
Pengurus Spa Escapade di Golden Palm Tree Resort & Spa Sdn. Bhd., Junaidah Jaafar berkata, spa berusia lebih dua bulan itu membawa identiti berbeza.
“Di sini, pakej-pakej spa yang ditawarkan merangkumi gabungan kaedah urutan tradisional ketiga-tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
SUASANA damai dengan hembusan angin laut memberikan ketenangan saat memanjakan diri di Spa Escapade.


Menurutnya, terapi urutan signatur Escapade itu merupakan kaedah berkesan untuk meredakan kekusutan minda. Bagi yang sekadar mahu merehatkan tubuh sambil menikmati tempoh percutian pula, terapi itu juga pilihan terbaik untuk meningkatkan kesejahteraan diri.
Sebanyak enam jenis teknik urutan ditawarkan di spa yang beroperasi dari pukul 11 pagi sehingga 8 malam itu antaranya termasuk urutan batu panas, urutan timur, urutan terapi aroma dan urutan saliran limfa.
Bergantung kepada pakej yang dipilih, lazimnya sesi spa dimulakan dengan mandian kaki menggunakan bahan-bahan natural sama ada santan mahupun kelopak bunga ros dan bunga melur.


“Bagi yang ingin merehatkan tubuh setelah penat melakukan aktiviti lasak seharian, mereka boleh menikmati pakej-pakej khas rawatan spa pada harga menarik,” tambahnya.
Pakej-pakej khas itu termasuklah rawatan spa bagi penggemar sukan air, cabaran eko dan melegakan lesu jet (jet lag).
Setiap pakej rawatan spa khas ini memberi tumpuan berbeza pada bahagian tubuh pengunjung. Spa untuk melegakan lesu jet misalnya disyorkan untuk merehatkan tubuh serta mengurangkan ketidakselesaan kaki setelah melalui tempoh penerbangan yang lama.

SPA ini turut dilengkapi dengan bilik sauna, stim dan kolam renang.


Tidak sah kunjungan ke spa juga tanpa membawa pulang sedikit cenderamata. Di Spa Escapade, tiga jenis minyak urut signatur, kotak hadiah dan bantal mata turut dijual kepada pelanggan yang berminat.
“Kami juga menyediakan pakej bagi mereka yang ingin mengadakan acara seperti parti hari jadi, majlis meraikan bakal pengantin mahupun sekadar berkumpul dengan kawan-kawan,” jelas Junaidah sambil memberitahu kemudahan lain yang disediakan termasuk kolam renang, sauna dan stim.

This entry was posted in

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...