Isnin, 11 Oktober 2010

Musa sifatkan Ijazah Kehormat sebagai iktiraf khidmat PDRM

Musa sifatkan Ijazah Kehormat sebagai iktiraf khidmat PDRM

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (kiri) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Teknologi kepada Musa Hassan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT 10 Okt. - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Teknologi kepadanya sebagai suatu pengiktirafan terhadap perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, anugerah daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu merupakan pengiktirafan kepada pegawai-pegawai dan anggota PDRM yang setia berkhidmat menjaga keselamatan dan keamanan negara.
"Ini adalah satu titik sejarah kepada diri patik dan juga pengiktirafan kepada PDRM yang patik telah menganggotainya selama 41 tahun iaitu dari 1969 hingga 13 September yang lalu.
"Ia juga jelas menunjukkan bahawa Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku Canselor UTHM serta ahli-ahli senat UTHM mengiktiraf perkhidmatan yang telah dicurahkan setiap pegawai dan anggota PDRM," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas menerima ijazah kehormat itu yang disampaikan oleh Sultan Johor pada Majlis Konvokesyen Ke-10 UTHM di sini hari ini.
Turut hadir Isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.
Pada majlis itu juga, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UTHM.
Musa turut menggesa semua warga PDRM mempersiapkan diri dengan ilmu dan penguasaan teknologi dalam menghadapi cabaran jenayah masa kini.
Menurutnya, PDRM telah dan sedang merangka strategi-strategi yang lebih berkesan bagi menghadapi cabaran dan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan melalui pelan strategik lima tahun (PS5T) PDRM yang dirangka pada 2007.
Katanya, termasuk dalam pelan itu adalah mewujudkan cawangan jenayah siber untuk menangani penipuan siber dan pemantauan laman web bagi mengesan berita-berita palsu dan hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara.
Penganugerahan ijazah kehormat itu bagi menghargai sumbangan besar Musa dalam aspek pemodenan PDRM khususnya berkaitan aplikasi teknologi terkini dalam sistem pengurusan dan operasi pihak keselamatan itu.
Antara sumbangan beliau adalah memperkenalkan sistem C4I iaitu command (arahan),coordination (koordinasi), computer (komputer) dan integration (integrasi) yang banyak melancarkan operasi PDRM.
Beliau juga mempergiatkan penggunaan teknologi canggih dalam menyelesaikan kes jenayah moden seperti penggunaan asid deoksiribonukleik (DNA), biomatriks dan alat pengesan pembohongan.

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...