Pengikut

Karnival IKTIRAF Peringkat Kebangsaan 2010 Putrajaya 10-12 Dec 2010

KARNIVAL IKTIRAF 2010

Penganjuran Karnival IKTIRAF telah bermula pada tahun 2009. Program ini adalah anjuran bersama diantara SERANTA (FELDA) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan FELDA. Ianya merupakan satu program pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan sumbangan belia tanah rancangan kepada pembangunan Negara.

Pada tahun 2010, Karnival IKTIRAF peringkat Wilayah telah diperkenalkan dan akan dipacu sepenuhnya oleh Majlis Belia FELDA (MBFM) selaku Penganjur Acara dengan usahasama oleh Pejabat Seranta (FELDA) Jabatan Perdana Menteri dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan FELDA.

Karnival IKTIRAF Peringkat Wilayah akan diadakan di 11 lokasi yang mewakili 11 Wilayah FELDA di seluruh negara dari Julai hingga ke bulan November 2010 dan akan diakhiri dengan acara kemuncaknya iaitu sambutan Karnival IKTIRAF Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Disember 2010 di Putrajaya.

Karnival IKTIRAF peringkat Kebangsaan merupakan kemuncak kepada keseluruhan program Karnival IKTIRAF peringkat Wilayah dan bakal menjadi perhimpunan terbesar warga FELDA dari seluruh Negara. SERANTA (FELDA) Jabatan Perdana Menteri akan menjadi peneraju utama acara kemuncak ini dan akan bekerjasama dengan Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Pengisian program-program adalah sama seperti di peringkat Wilayah tetapi pada skala lebih besar.

Pelaksanaan program ini sarat dengan aktiviti sukan seperti pertandingan bola sepak, futsal, badminton dan bola tampar untuk mencungkil bakat-bakat baru sukan. Selain daripada acara sukan, Battle of the Band dan Kompang Berirama yang merupakan

acara kebudayaan dan kesenian akan turut dipertandingkan. Kompang Berirama merupakan acara yang baru diperkenalkan. Juara-juara dari kategori-kategori keagamaan, sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat Wilayah akan bertanding di Peringkat Kebangsaan bagi menentukan Juara Kebangsaan. Penganugerahan akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di hari Pelancaran Karnival IKTIRAF Kebangsaan.

Pengisian rohani juga dititik-beratkan di mana program bacaan Yassin, Tahlil & Tazkirah akan diadakan bersama program Forum Perdana Hal-Ehwal Islam disamping pertandingan berzanji, melaungkan Azan dan Nasyid.

Bagi menarik minat golongan muda, Program Autoshow bagi Kelab Kereta Belia FELDA, Kelab Motor Kapchai FELDA, Kelab Motosikal Klasik & Vespa, Kelab Motor Cross, dan sebagainya akan juga diadakan.

Program ini akan dihadiri oleh Ahli Yang Berhormat (Parlimen & DUN) untuk mewujudkan dan meningkatkan interaksi dengan masyarakat FELDA. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan akan turut hadir dalam setiap program Karnival IKTIRAF peringkat Wilayah dan Kebangsaan ini.

Untuk lebih menarik minat ramai pengunjung, gerai-gerai pameran dan jualan, program-program riadah seperti sukaneka yang dibuka kepada orang ramai serta persembahan Kebudayaan dan Kesenian akan turut diadakan.

Pada Tahun ini, Karnival IKTIRAF juga memperkenalkan Program Interaksi diantara Syarikat Korporat, Swasta dan warga FELDA. Selain daripada mempromosikan barangan atau servis syarikat, Syarikat-syarikat ini dijemput untuk menjayakan program motivasi, klinik pembelajaran, berkongsi maklumat, idea dan pengalaman mengendalikan syarikat untuk dijadikan teladan dan menaikkan semangat warga FELDA.
Previous
Next Post »

1 Komen:

Write Komen