Sabtu, 18 Disember 2010

HKLBR: Naskhah Paling Lucu Sentuhan Mamat Khalid


Teks: zyzamani

FILEM: Hantu Kak Limah Balik Rumah

PENGARAH: Mamat Khalid
PELAKON: Awie,Man Kadir, Zami Ismail,Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera, Pekin Shoffi Jikan, Avaa Vanja, Nadia Mustafar
PENERBIT: Tayangan Unggul Sdn. Bhd.
GENRE: Komedi Seram
Klasifikasi: U
Mula Tayangan: 9 Disember 2010

Sekali Imbas

Mempamerkan kisah komedi seram masyarakat yang mempercayai elemen tahyul seperti kewujudan hantu dalam komuniti seharian. Mengambil jalan singkat untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan meminta bantuan bomoh untuk meleraikan segalanya.

Ulasan Penuh
Sentuhan pertama pengarah profilik, Mamat Khalid menerusi Zombi Kampung Pisang telah diterjemahkan dengan sempurna.Diterima baik oleh kebanyakan penonton, Mamat Khalid muncul menunaikan janji menghasilkan sekual keduanya, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR).
Masih mengekalkan pelakon dan lokasi yang sama, HKLBR kali ini mengetengahkan kisah hantu Kak Limah yang menjadi bualan ramai. Dilihat merayau merata-rata tempat, Kak Limah sebenarnya adalah seorang wanita berambut panjang tidak terurus dan sentiasa muncul di tempat yang gelap.
Kemunculan kak Limah secara misteri telah membuatkan orang ramai menyangka dirinya hantu yang sekali gus telah mencetuskan suasana seram dan lucu di Kampung Pisang.
Masih mengekalkan Awie selaku penyeri utama, kepulangannya dari perantauan ( Singapura) membawa pelbagai erti kepada masyarakat kampung itu. Dengan niat mahu menyunting semula bekas tunangnya (Ummi Nazeera) kehadiran Awie secara tidak langsung membantu rakan-rakan kampung merungkai misteri hantu Kak Limah.
Harus diakui filem ini sememangnya antara karya Mamat yang paling lucu. Tidak henti-henti kedengaran gelak tawa penonton sewaktu menyaksikan filem ini. Sebagai contoh sewaktu aksi bomoh Siam yang ingin memanggil hantu kak Limah muncul, namun pelbagai hantu lain yang hadir terlebih dahulu antaranya kehadiran hantu kopek yang mana berpuluh-puluh coli yang berterbangan dalam rumah tersebut.
Paling penting, mesej yang ingin disampaikan oleh Mamat sampai dihati penonton. Mahu menyedarkan masyarakat umum yang mempercayai elemen tahyul namun sentiasa menafikannya pengarah kelahiran Ipoh, Perak ini berjaya mengetengahkan sindiran tersebut dalam versi yang lembut.
Memanggil beberapa bomoh sebagai kaedah terbaik untuk menghalau hantu Kak Limah yang akhirnya kesemua mereka tidak juga berjaya menyelesaikannya. Di situ jelas kelihatan ketaksuban masyarakat hari ini yang masih mempercayai perkara-perkara kurafat seperti itu.
Selain itu, seri filem tersebut tidak dinafikan terserlah menerusi pemain wayangnya. Lawak bersahaja Awie usah dipertikaikan, lakonan Shy8 sebagai Usop cukup mengelikan hati penonton. Bahkan kehadiran Johan membawakan watak Abu Hurairah juga membantu menyerikan filem tersebut menerusi lawak selambanya.
Filem HKLBR, memaparkan Husin yang telah lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumah, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya, Kak Limah yang langsung tidak bercakap dan rambut yang mengerbang seperti tidak siuman.
Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur. Husin bergegas ke warung Pak Munawer, lalu menceritakan kepada orang-orang kampung yang mungkin Kak Limah sudah menjadi hantu. Abi Hurairah juga setuju dengan pendapat Husin kerana beliau juga mengalami peristiwa pelik ketika melihat Kak Limah di kawasan kubur.
Pak Jabit yang memang panas hati dengan Husin (kerana memutuskan ikatan kasih dengan anak gadisnya, Che Nin), menuduh Husin adalah pembawa nasib buruk kepada Kampung Pisang. Sebelum ini keadaan aman damai, sebaik sahaja Husin muncul, keadaan kembali kacau bilau.
Pak Abu mencadangkan agar mereka menyiasat apa yang berlaku sebenarnya. Beramai-ramai mereka ke rumah Kak Limah. Mereka menemui mayat Kak Limah yang hampir reput. Namun, setelah pengebumian jenazah Kak Limah, kampung mereka masih dihantui makhluk misteri di tengah-tengah malam.
Pelbagai bomoh dipanggil untuk mengusir hantu tersebut, malangnya tiada seorang bomoh yang berjaya menghalaunya. Namun segalanya terlerai apabila kepulangan anak kak Limah.

SUMBER: MURAI.COM

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...