Rabu, 22 Disember 2010

TIKET FINAL PIALA SUZUKI BUKIT JALIL

70,000 untuk penyokong kita

Penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali (tengah) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, sebagai persediaan untuk perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia, Ahad ini.


KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 70,000 tiket untuk penyokong Malaysia pada harga RM30 dan RM50 untuk perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Harga yang diumumkan semalam menyaksikan peningkatan sebanyak RM10, apabila RM50 dikhaskan untuk tempat duduk berbumbung, sementara tempat duduk tidak berbumbung pula ditetapkan RM30.

Berbanding pada perlawanan separuh akhir membabitkan Malaysia dan Vietnam lalu, harga tersebut merupakan kenaikan sebanyak R10, namun harga tiket bagi kanak-kanak kekal RM5.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, penyokong tempatan boleh mula mendapatkan tiket yang akan dijual esok di pintu pagar berwarna kuning Stadium Nasional, bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang sehingga hari perlawanan.

''Tiket ini hanya dijual kepada penyokong Malaysia sahaja dan mereka perlu menunjukkan kad pengenalan masing-masing ketika membeli tiket.

''Sebanyak 70,000 tiket kerusi tidak berbumbung dan 2,500 tempat duduk berbumbung diperuntukkan kepada penyokong Malaysia.
''Sementara bagi penyokong Indonesia, berdasarkan persetujuan dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), 15,000 tiket bagi kerusi tidak berbumbung dan 500 tempat duduk berbumbung akan diagihkan kepada penyokong mereka di sini.

''Kami belum memberi keputusan di mana tiket untuk penyokong Indonesia akan dijual, kerana mengikut cadangan asal, FAM mahu tiket dijual di Kedutaan Indonesia, namun ia bergantung perbincangan Setiausaha PSSI, Jeneral Nugraha Besoes yang akan melakukan kunjungan hormat ke sana esok (hari ini), '' katanya.

Jika kedutaan tidak bersetuju mekanisme cara penjualan tiket kepada penyokong Indonesia, Azzuddin berkata, pihaknya mempunyai alternatif lain.

''FAM akan serahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu, Datuk S. Sivasundram dan antara cadangan awal ialah menjual tiket di pintu pagar biru dan mereka harus menunjukkan pasport Indonesia ketika membeli tiket.
''Mungkin esok (hari ini) saya akan beritahu secara rasmi cara penjualan tiket kepada penyokong Indonesia, '' jelasnya pada sidang media di Wisma FAM, semalam.

Sebelum itu, beliau dan Sivasundram menerima kunjungan hormat perwakilan PSSI ke Wisma FAM, bagi membincangkan pengagihan tiket dan taklimat mengenai langkah keselamatan menjelang perlawanan akhir pertama, Ahad ini.

Azzuddin memberitahu, FAM akan mempertingkatkan kawalan keselamatan pada hari perlawanan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

''Berasaskan pengalaman pada enam tahun lalu ketika kedua-dua pasukan bertemu, pemisahan penyokong antara kedua-dua pasukan harus dilakukan.

''Satu mesyuarat khas membincangkan soal keselamatan akan dilakukan pada hari esok di Wisma FAM, '' katanya.
Skuad Indonesia akan tiba ke Malaysia Jumaat ini dan akan menjalani latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN).

UTUSAN.

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...