sumber : sinar harian |
SEBELUM ini, Sinar Harian pernah melaporkan pergolakan rumah tangga pengacara Jimmy Shanley. Namun kemelut rumah tangga mereka dianggap selesai setelah isterinya, Nursuhaila Eliani dikhabarkan mengandung.
Sehinggalah semalam, sebuah portal berita pula melaporkan perkara yang sama dengan mendakwa Jimmy sudah tidak sehaluan dengan Suhaila dan tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya di Sungai Buluh.
Agak mengecewakan apabila, Jimmy, enggan menjawab panggilan mahupun sistem pesanan ringkas (SMS) daripada penulis bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu rumah tangganya yang tiada kesudahan itu.
Bagaimanapun, ibu mertua Jimmy, Datin Muniroh Kasim, tidak pula menolak untuk ditemu bual kali ini. Seperti yang dijangkakan, Datin Muniroh, tidak menafikan perkara itu. Namun jawapannya mungkin agak menjengkelkan bagi segelintir orang.
“Memang benar Jimmy sudah tidak tinggal bersama kami. Dia dah kembali ke rumahnya di Subang Jaya. Tapi itu bukan bermakna mereka tidak sehaluan atau bermasalah. Hubungan mereka masih seperti biasa. Masih baik dan sering berhubung cuma tidak tinggal bersama.
“Buat pengetahuan semua, tindakan Jimmy pulang ke rumahnya itu hanyalah sementara waktu. Ini kerana keadaan Eliani (Suhaila) sekarang tidak boleh melihat wajah Jimmy buat ketika ini,” kata pengasas produk kecantikan Natasya ini.
Menurut Muniroh, sejak anaknya disahkan bunting pelamin, keadaan terus berubah di mana Suhaila tidak boleh melihat suaminya.
“Bagi saya, ini keadaan biasa di mana setiap ibu yang hamil pasti akan ada alahannya sendiri. Mungkin orang lain berbeza dengan Eliani. Eliani menerima nasib sama seperti saya ketika mengandungkannya dulu.
“Saya juga tidak boleh melihat wajah suami saya. Tapi ini sementara saja. Bila dah masuk bulan keempat atau kelima diharapkan keadaan akan pulih semula.
“Saya bersyukur dikurniakan seorang menantu seperti Jimmy yang faham dengan situasi ini. Jadi tak perlu risau mengenai rumah tangga mereka,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, apa juga cerita yang disebarkan sebelum ini mengenai perkahwinan anaknya bersama pengacara TV ini yang kononnya mengalami masalah besar hingga ke mahkamah adalah tidak benar sama sekali.
“Sejak awal perkahwinan, mereka masih baik biarpun agak lambat untuk sesuaikan diri. Tambahan anak saya sebelum ini semuanya dilakukan pembantu.
“Apabila sudah berkahwin, keadaan berubah sekelip mata. Maklum saja, anak perempuan tunggal pasti manja. Jadi bila dah bergelar isteri pasti bukan mudah untuknya membiasakan diri dengan status baru itu.
“Apatah lagi, dia pula bunting pelamin. Orang kata, tak sempat nak sesuaikan diri sebagai isteri dah mengandung pula. Ini rezeki mereka. Cuma alahan saja berbeza.
“Mereka berdua tinggal dengan kami sejak awal berkahwin. Saya tahu apa yang berlaku. Apa yang tersebar sebelum ini hanyalah fitnah.
“Sehingga kini mereka masih baik dan saling sayang menyayangi seperti biasa. Saya rasa beruntung kerana dapat menantu seperti Jimmy yang baik dan memahami situasi Eliani,” katanya lagi.
0 Komen:
Catat Ulasan