Ahad, 3 Oktober 2010

Kebencian dan kebodohan terhadap Islam

Kebencian dan kebodohan terhadap Islam

SEORANG pemandu teksi di New York tiba-tiba ditanya seorang penumpang kulit putih: “Apakah kau orang Islam?” Dia segera menjawab “ya”. Secara tiba-tiba dia ditikam oleh penumpang itu.
Demikian dilaporkan oleh sebuah majalah mingguan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. Laporan itu dipetik kemudiannya oleh seorang penulis pojok AS dengan ayat pertama berbunyi: “2010 nampaknya menjadi Year of the Hate Crime in America”.
Reaksi wartawan, William Rivers Pitt adalah berkaitan dengan pilihan raya pertengahan penggal di AS pada November nanti manakala mengulas tindak-tanduk golongan Parti Republikan yang begitu condong ke kanan sikap politiknya: “Idea-idea ekonomi mereka menyebabkan kemerosotan ekonomi kita, dasar-dasar luar mereka menyebabkan kita kalah di Iraq dan kekalahan di Afghanistan juga”.
Ini kerana yang diwarisi adalah dasar-dasar bekas Presiden George Bush dan golongan neokonservatif.
Dalam keadaan masa kini Parti Demokrat mempunyai majoriti dalam Dewan Senat dan Dewan Perwakilan, tetapi sebilangan akhbar telah meramalkan bahawa Parti Republikan akan menebus kembali majoritinya yang lucut kepada pihak lawan semasa pilihan raya presiden dulu.
Ketika ini pula senjata pihak Republikan adalah menyebarkan rasa benar dan takut pada warga dan agama Islam. Lalu diungkit bahawa nama pertengahan Presiden Obama ialah Hussein, lantas tergamak menuduh beliau mahu menyebarkan undang-undang syariah di Amerika.
Akibatnya, Pitt menambah: “Ada masjid yang dilempar puntung api, seorang pemandu teksi Islam di New York ditikam oleh seorang lelaki sambil memekik cacian-cacian anti-Islam. Seorang lelaki Sikh yang memakai serban ditumbuk kerana disangka Islam”.
Beliau juga menulis mengenai peristiwa di satu tempat bernama West Haven di Wilayah Connecticut. Kekecohan berlaku di sebuah tempat minuman ala-Timur Tengah lengkap dengan hisap “hookah” dan tarian-tarian gelek oleh beberapa penari.
Seorang pengunjung bernama Kevin Morris menganggapnya sebagai tempat berkumpul orang Islam lalu terpekik-pekik mencarut. Walhal yang berada di situ ialah warga kulit putih yang kemudian bertindak menumbuknya kerana mencekik seorang pelayan.
Kebodohan
“Rasa benci dan kebodohan diperlihatkan dan ini berbahaya sekali,” penulis berkenaan mengingatkan lagi.
Turut mengulas dan cuba menjernihkan suasana ialah Fareed Zakaria, penulis kanan majalah Newsweek. Beliau antara lain menyentuh pendirian Ayaan Hirsi Ali, wanita dari Somalia yang telah meninggalkan agama Islam dan kemudian menceburkan diri dalam politik di Belanda dan kini berada di Amerika pula.
Fareed Zakaria menulis: “Nasihat Ayaan Hirsi Ali yang bukan lagi beragama Islam itu kepada warga Islam ialah supaya memeluk agama Kristian. Seruannya tidak mungkin memberi kesan sedikit pun kepada 1.2 bilion juta warga Islam di seluruh dunia.”
Beliau menyentuh pendirian organisasi Anti-Defamation League yang tidak setuju pembinaan masjid berhampiran tempat berlaku peristiwa 11 September. Menurutnya para keluarganya yang menjadi korban peristiwa itu berbelah-bagi pendirian mereka mengenai pembinaan masjid itu.
Beliau lalu menambah: “Puluhan orang Islam juga mati di tempat kejadian. Apakah perasaan mereka tidak diambil kira? Apakah yang menjadi mangsa bersikap taksub? Apakah kesengsaraan warga Palestin membolehkan mereka bersikap anti-Semitic?
Fareed Zakaria akhirnya mengembalikan lencana dan hadiah AS$10,000 yang diterima olehnya dari organisasi ADL lima tahun lalu.
Menjadi ingatan dari tindak-tanduk politik adalah sikap xenophpbia, dewasa ini, iaitu sikap benci kepada orang asing. Seperti kata pujangga Edward Said, warga Palestin beragama Kristian yang menjadi sarjana di Universiti Columbia, New York: “That is not criticism, it’s frogspeak”.
Sebagai contoh beliau menyebut mengenai buku-buku terbitan dunia Barat yang umumnya tidak bersimpati dengan warga Arab. Kenyataan oleh Arab mengenai sejarah, identiti mereka dan kejayaan-kejayaan mereka diperlekeh dan dianggap sebagai pembohongan.
Said juga menyebut mengenai filem-filem Zionis pada waktu dulu: Dunia Arab kelihatan kosong belaka. Mengenai orang-orang Arab pula ditunjukkan gambar beberapa ekor unta dan pengawal-pengawal di padang pasir. Tiada filem-filem yang memperlihatkan dunia Arab dalam pelbagai jurusan.
Mengenai filem-filem Hollywood pula ada yang memperlihatkan lelaki Arab sebagai kaki perempuan atau kaya raya yang menggunakan wang untuk pelbagai hal.

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...