Ahad, 30 Januari 2011

Wanita Malaysia diugut duda pemburu siber India

Wanita Malaysia diugut duda pemburu siber India

2011/01/30

Mangsa mohon bantuan polis, INTERPOL sekat gangguan

NEW DELHI: Seorang wanita Malaysia tidak menduga hubungannya dengan seorang duda di laman sembang internet November lalu, mengundang masalah besar hingga memaksanya mendapatkan bantuan Polis India dan INTERPOL bagi menyekat gangguan pemburu siber berpejabat di Bangalore itu.
Masalah itu dikatakan timbul apabila wanita berusia 40-an dan pekerja syarikat korporat di Kuala Lumpur itu membuat keputusan memutuskan hubungan mereka selepas menyedari lelaki itu cuba mengawal kehidupannya.
Akibat marah, suspek yang dipercayai bertugas sebagai perunding bebas teknologi maklumat dengan sebuah bank komersial terkemuka India, mula mengugutnya menerusi e-mel dan telefon.

“Saya dapat mengesan wujud kecenderungan luar biasa dalam pemikiran dan tindakannya yang bersifat mengongkong dan terus mem-buat keputusan untuk memutuskan hubungan dengannya. Ini menimbulkan kemarahannya.

“Dia kemudian mula menghantar e-mel penuh dengan maki-hamun selain mengugut melalui telefon. Lebih dahsyat lagi, dia turut menggodam ruang sembang internet, Facebook, e-mel pejabat dan e-mel peribadi saya untuk memburu saya selain mencuri alamat e-mel rakan sekerja, kawan dan saudara mara,” kata mangsa dalam suratnya kepada pejabat Konsul Besar Malaysia di Chennai, semalam.

Bimbangkan keselamatan dirinya, wanita itu memohon bantuan Pejabat Konsul Besar Malaysia bagi menyekat perbuatan lelaki itu dan salinan surat itu turut dikirim kepada BERNAMA.
“Saya tertekan apabila dia mengancam mengirim e-mel untuk merosakkan nama baik saya kepada lebih 100 alamat e-mel yang didakwa diperolehnya.

“Nampaknya, setiap pihak yang saya mohon pertolongan, tidak memberi sebarang bantuan walaupun mengemukakan bukti saya diugut,” kata wanita itu dalam suratnya.

Dia turut membuat laporan polis dan merujuk kesnya itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi tidak mendapat sebarang jawapan positif.

Malah, wanita itu berkata dia sudah meminta bantuan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur supaya menghalang lelaki itu daripada terus mengugutnya.

Seorang pegawai kanan polis bahagian jenayah siber India yang dihubungi, berkata oleh kerana kes itu membabitkan warga asing, mangsa perlu memfailkan kesnya melalui pihak berkuasa Malaysia

sumber : bharian

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...