Ahad, 16 Januari 2011

Ashraf cuma guna al-Quran



Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my - KOSMO









JIKA dahulu dia hanya melakonkan watak ustaz penghalau hantu dalam drama bersiri Puaka Niyang Rapik, Ashraf Muslim, 29, kini bertugas sepenuh masa sebagai pengamal perubatan Islam.

Ashraf mengubat pelbagai jenis penyakit sama ada berbentuk fizikal seperti sakit jantung mahupun penyakit spiritual yang melibatkan gangguan makhluk halus.

Kru Jurnal berpeluang melihat sendiri Ashraf mengubat pesakit di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah yang terletak di Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Menyaksikan sendiri jumlah pesakit yang datang, ternyata Ashraf tidak main-main.

Pengunjung terdiri daripada semua peringkat usia. Mereka datang dari seluruh negara termasuk Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Ada juga yang sanggup bermalam di ibu negara sama ada di hotel mahupun rumah saudara-mara asalkan mendapat rawatan di situ.

Difahamkan, proses rawatan itu bermula selepas Isyak sehingga pukul 3 pagi.

Mengimbas kembali transformasi dirinya daripada seorang pelakon kepada pengamal perubatan Islam, Ashraf mengakui proses itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Hijrah

“Ia satu penghijrahan diri, semua orang kena lalui. Proses perubahan itulah yang menjadikan saya lebih kuat dan lebih memikirkan apa yang salah dan betul.

“Sebelum ini memang saya ada duit, kerja, kereta, rumah dan kawan-kawan. Bagaimanapun, hati saya terasa kosong.

“Sampailah saya berjumpa pengasas pusat perubatan ini, Haji Lokman. Dia kata, Ashraf, pergi dekatkan diri dengan Tuhan.

“Caranya, saya sembahyang sunat taubat, sunat hajat dan pergi menunaikan umrah.

PUSAT Perubatan Syifa’ Al-Hidayah di Gombak, Selangor, tempat Ashraf mengamalkan ilmu perubatan Islamnya.


“Balik daripada umrah, saya rasa gembira dan lega. Perjalanan hidup pun semakin tenteram manakala rezeki bertambah hingga sekarang,” katanya.

Ashraf mula berkenalan dengan Haji Lokman Abdul Hamid ketika membawa seorang adiknya berubat di situ.

Haji Lokman juga ialah orang yang bertanggungjawab mengajar Ashraf ilmu perubatan Islam dan membuka Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah.

Menurut Ashraf, rawatan yang diberikan adalah menggunakan ayat-ayat al-Quran tanpa sebarang perantaraan mahupun khidmat daripada makhluk halus.

Selepas berubat, pesakit akan diberikan ayat-ayat daripada surah tertentu untuk diamalkan, yang berfungsi sebagai penawar penyakit.

Orang ramai datang untuk mendapatkan rawatan bagi pelbagai jenis penyakit.

Daripada yang menderita penyakit kronik hinggalah sekadar meminta air penerang hati.

“Namun, yang ada hanyalah ayat penerang hati, air penerang hati tidak ada.

“Semasa merawat, al-Quran kita mesti baca, baru kita ingat kepada Allah. Paling penting adalah doa.

“Air tidak penting, ia sekadar syarat. Kebiasaannya orang Melayu nak ada air, jadi kita bagi air, tapi baca al-Quran lagi penting.

“Kalau air dah habis tidak menjadi masalah sebab yang menjadi ubat ialah ayat al-Quran, bukan air.

“Sebagai contoh, untuk sakit tulang seperti artritis, surah yang perlu dibaca ialah surah Qaf dari ayat 16 hingga ayat 45. Selepas baca kita berdoa pada Allah mohon apa yang dihajati,” katanya.

Berlakon

Pemegang Diploma Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) dan anak kelahiran Teluk Mas, Melaka ini berpendapat perubatan Islam bukan untuk golongan ustaz semata-mata.



TIADA khidmat makhluk halus, Ashraf sekadar berdoa dan membaca ayat-ayat al-Quran untuk merawat pesakit.

“Sebenarnya Tuhan tengok hati. Haji Lokman pun latar belakangnya bukan seorang ustaz, sebaliknya dia seorang ahli korporat. Dia berhenti kerja semata-mata untuk kerja ini (mengubat).

“Kerja ini untuk semua orang, tapi hati kenalah ikhlas. Saya juga manusia biasa.

“Yang penting, solat lima waktu jangan tinggal, buat perkara wajib, tinggalkan perkara yang dilarang,” katanya.

Kini, Ashraf fokus dengan pilihannya biarpun terpaksa melupakan karier lakonannya buat seketika.

“Berlakon itu bila-bila masa pun boleh. Sebelum ini saya buat dua-dua (berlakon dan mengubat). Tapi kadang-kadang kita perlu fokus pada satu-satu perkara,” katanya.

3 ulasan:

  1. Alhamdulillah..bagus enchek Ashraf ni..macam Darussyifa' juga konsepnya..:)

    BalasPadam
  2. wah memang menabjubkan lah.. syukur semoga diberkati allah segala usaha ashraf ni..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...