Ahad, 9 Januari 2011

Maut Kerana Flying Fox | SHAHAZRIN.COM

Salam semua dan selamat pagi. Aktiviti yang membawa bencana ini berlaku dalam kawasan sekolah. Hurmm.. kawasan selamat, kesilapan manusia mungkin antara penyebab berlakunya kemalangan jiwa ini. Tapi yang pasti ajal itu Kuasa Tuhan..


Foto
PHORN Thi Pha meratapi kematian anaknya selepas dihentam takal besi (gambar kecil) ketika mengadakan latihan flying fox.

Foto

TAIPING: Kegembiraan seorang pelajar Tingkatan Dua mengetuai sekumpulan pengakap di sekolahnya mengadakan latihan flying fox berakhir tragedi apabila dia maut dihentam takal besi pada tali yang sedang dipasang, kira-kira jam 6 pagi semalam.

Goh Swee Khin, (kiri) 14, pelajar lelaki yang aktif dengan aktiviti kokurikulum, ketika itu bersama kira-kira 40 rakannya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Hua Lian, di sini, menyertai program perkhemahan pengakap.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Md Diah, berkata kejadian berlaku ketika mangsa mengetuai rakannya membuat persediaan latihan flying fox dengan diawasi seorang guru.
“Ketika kumpulan pelajar itu meregangkan tali, tiba-tiba tali itu putus menyebabkan takal besi menghentam kepala mangsa menyebabkan dia meninggal di tempat kejadian.

“Petugas hospital yang tiba di lokasi kejadian sejurus kemudian mengesahkan pelajar itu meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Taiping (HT) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimaklumkan kejadian malang itu mengarahkan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong menziarahi keluarga mangsa, kira-kira jam 6.30 petang. 
Kementerian Pelajaran turut menubuhkan jawatankuasa penyiasat diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud bagi mengenal pasti punca kejadian.

Ka Siong yang ditemui ketika melawat keluarga mangsa di sini, berkata Perdana Menteri terkilan dengan kejadian itu.

Katanya, jawatankuasa siasatan akan mengenal pasti punca kejadian dan kelemahan berhubung aktiviti yang dijalankan itu.

Katanya, kementerian juga mengarahkan SMJKC Hua Lian menghentikan semua aktiviti sekolah selama dua minggu kerana kejadian itu menyebabkan trauma kepada pelajar sekolah yang perlu diberi kaunseling.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM2,000 kepada keluarga mangsa manakala Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon yang turut melawat keluarga mangsa sebelum itu menyerahkan sumbangan RM5,000 bagi pihak kerajaan Perak.

Sementara itu, ibu mangsa, Phorn Thi Pha, 38, yang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Ka Siong dan kerajaan negeri berkata anak sulungnya itu bersemangat menjalankan kegiatan itu tetapi tidak menyangka ia berakhir tragedi. 


sumber: BERITA HARIAN

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...