Jumaat, 1 Oktober 2010

THE IRON LADY

Malam bersejarah The Iron Lady

SENIWATI Lai Meng (dua dari kiri) terharu apabila menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Golden Awards yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.


SEJAK dari awal lagi, drama bersiri The Iron Lady sudah diramal akan menang besar pada majlis penganugerahan Golden Awards yang julung kali diadakan di negara ini.
Kekuatan jalan ceritanya serta tema yang ditampilkan dalam drama itu ternyata membawa tuah kepada drama terbitan Double Vision dengan kerjasama Natseven TV Sdn. Bhd., itu yang berjaya menggondol lima anugerah termasuk Drama Terbaik.
Populariti drama itu juga menjadi pilihan penonton dan peminat yang sebulat suara menobatkan The Iron Lady dengan gelaran Drama Paling Popular dengan menewaskan sembilan drama lain.
Selain itu, dua pelakon The Iron Lady iaitu Yeo Yann Yann dan Seck Fook Yee turut diiktiraf pada malam bersejarah itu sebagai Pelakon Wanita dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Kekuatan lagu temanya juga membawa tuah kepada penyanyinya, You Di apabila dipilih sebagai Lagu Tema Drama Terbaik.
Mengulas kejayaan drama itu, penerbit eksekutifnya, Sampson Yuen dengan penuh jujur memberitahu, pihaknya tidak menyangka kemenangan akan berpihak kepada The Iron Lady malam itu.
Baginya, drama lain yang bertanding memang cukup kuat dan bukan calang-calang kerana menampilkan jalan cerita yang berbeza-beza.
“Kejayaan The Iron Lady dalam Golden Awards ini terletak kepada semua pihak yang telah merealisasikan drama ini menjadi satu realiti.
“Bukan mudah sebenarnya hendak menghasilkan The Iron Lady kerana banyak faktor yang perlu diambil kira. Semuanya untuk menjadikan ia sebuah drama yang berkualiti,” katanya ketika ditemui pada pasca parti yang berlangsung sejurus majlis berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam Sabtu lalu.
Selain trofi bersalut emas, drama itu juga membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 untuk dua kategori yang dimenanginya menerusi Drama Terbaik dan Drama Paling Popular.
Sampson turut berkongsi cerita pembikinan drama bersiri 30 episod yang memakan masa hampir setahun untuk disiapkan.
Berbeza dengan drama-drama lain terbitan syarikatnya sebelum ini, Sampson tidak menafikan The Iron Lady yang paling rumit untuk dihasilkan.
“Penghasilan skripnya sahaja mengambil masa empat hingga lima bulan manakala selebihnya adalah untuk penggambaran.
“Malah, ketika penggambaran pun, skripnya ada yang diubah semata-mata untuk memberikan kesan yang lebih dramatik kepada perjalanan ceritanya.
“Saya sendiri merasakan naskhah The Iron Lady ini memiliki semangatnya yang tersendiri sehingga saya melihatnya sebagai sebuah karya agung untuk syarikat saya.
“Dengan kemenangan ini, ia mendorong saya untuk menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini,” ujarnya bersungguh.
Mengenai perancangan terbarunya, Sampson memberitahu, pihaknya sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri 30 episod untuk 8TV sempena ulang tahun ketujuh stesen itu tahun depan.
Ceritanya pula bukan sembarangan dan apabila dikhabarkan sendiri oleh Sampson, sememangnya ia mampu memberikan impak yang cukup besar apabila ditayangkan kelak.
“Ceritanya akan berlatar belakangkan sekitar tahun 50-an dan 60-an tentang persaingan dua buah studio filem yang berkuasa di Singapura dan Malaysia ketika itu.
“Secara ringkasnya, ia adalah mengenai kebangkitan dan kejatuhan Shaw Brothers dalam menjadi studio filem terunggul ketika itu,” ceritanya mengenai projek pembikinan drama berjudul A Time To Embrace itu.

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...