Jumaat, 1 Oktober 2010

Samy Vellu undur Januari





Mahu lepas jawatan Presiden MIC tujuh bulan lebih awal

KUALA LUMPUR: Selepas 31 tahun menerajui MIC, Datuk Seri S Samy Vellu semalam memutuskan untuk mengundur diri sebagai presiden parti itu, Januari depan, tujuh bulan lebih awal daripada tarikh peralihan kepimpinan yang ditetapkannya sendiri, pada Mei lalu. 

Tokoh politik berusia 74 tahun berkata, keputusannya itu bertujuan memberi peluang kepada barisan kepemimpinan MIC membuat pembaharuan dan mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Beliau berkata, Timbalannya, Senator Datuk G Palanivel akan mengambil alih jawatan itu.


Bekas Menteri Kerja Raya itu juga menjelaskan tindakannya untuk bersara awal daripada tempoh ditetapkan sebelum ini adalah keputusan beliau sendiri dan bukan atas tekanan mana-mana kumpulan. 

Beliau juga memberi jaminan selepas proses peralihan itu, beliau tidak akan campur tangan atau mengganggu dalam sebarang urusan dalaman MIC kerana mahu pemimpin baru membawa perubahan dan menarik kembali sokongan masyarakat India kepada parti berkenaan. 

Kalau saya tunggu lagi dua tahun (pemilihan parti akan datang), saya fikir ia tidak baik, kerana kita mahu pembaharuan dalam kepimpinan parti. Pemimpin baru akan membawa idea dan dasar baru. 

Saya fikir itu (melepaskan jawatan) lebih baik daripada menunggu sehingga hampir Pilihan Raya Umum ke-13, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di ibu pejabat MIC di sini, semalam. 
Hadir sama, Palanivel; tiga Naib Presiden, Datuk Dr S Subramaniam, Datuk M Saravanan dan Datuk SK Devamany serta anggota CWC. 

Ketika Konvensyen MIC Wilayah Persekutuan, Mei lalu, Samy Vellu dilaporkan berkata beliau sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan melepaskan jawatannya dalam masa lapan atau sembilan bulan sebelum penggalnya sebagai presiden berakhir pada Mei 2012. 

Ditanya pemberita kemungkinan beliau akan melepaskan jawatannya sebelum 15 Januari, beliau berkata, proses peralihan mungkin berlaku sebelum atau selepas beliau menghadiri Persidangan Pravasi Bharatiya Divas di New Delhi, India pada 7 hingga 9 Januari 2011. 

Yang pasti sebelum 15 Januari. Saya perlu menghadiri persidangan itu bagi memastikan kesinambungan usaha membantu kontraktor Malaysia mendapat projek di India, katanya. 

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...