Pengikut

Pap Smear selamatkan nyawa Genevieve

Pap Smear selamatkan nyawa Genevieve

Genevieve bergambar bersama Ketua Eksekutif Majlis Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr. Saunthari Somasundaram (tiga dari kiri), Pengarah Unit Perniagaan vaksin, GlaxoSmithKline, Choong Kit Son, penaja-penaja dan duta kempen POCC di Damansara Perdana, Petaling Jaya Selangor baru-baru ini.


April 2009 merubah kehidupan Genevieve Amarit Kaur Sambhi, 36, yang didiagnosis barah pangkal rahim atau kanser serviks.
Bekas pemenang tempat kedua Miss Malaysia/ World 98/99 dan Miss Malaysia/ Universe 2000, Genevieve mulanya takut berdepan dengan saat itu.
Terbayangkan dua orang anaknya yang masih kecil. Siapa yang akan menjaga mereka dan mampukah suaminya berbuat demikian.
"Ketika itu saya terfikir kenapa saya? Saya tidak merokok, sering melakukan ujian pap smear dan mengenali suami saya sekarang pada umur awal 20-an. Marah? Ya, saya marah diri sendiri masa itu," ceritanya.
Setelah didiagnos mengidap kanser serviks, hidup Genevieve terumbang ambing. Namun, dia membuktikan bahawa mengesan serta mengetahui kehadiran kanser itu lebih awal boleh menyelamatkan nyawa.
Episod perjuangan Genevieve menentang kanser serviks bermula apabila disahkan kanser serviks tahap dua selepas menjalani ujian pap smear.
"Mulanya ia begitu sukar sekali. Seperti juga perasaan pesakit lain, saya merasakan kanser itu sepatutnya tidak berlaku pada diri saya tetapi ia memang terjadi," tambahnya.
Selepas menjalani pembedahan membuang keseluruhan rahim, dia sedikit kecewa. Pada usia muda, Genevieve terpaksa kehilangan aset terindah wanita.
Demi meneruskan kehidupan, dia akur pada ketentuan Tuhan. Seperti pesakit kanser lain, Genevieve melakukan kemoterapi dan radioterapi.
Semasa sesi rawatan tersebut, dia mula memikirkan sesuatu dan tiada wanita yang perlu melalui kesengsaraan seperti yang beliau telah tempuhi.
Pemeriksaan kesihatan
"Untuk berhadapan dengan hakikat ini, wanita perlu berfikiran positif. Ia memerlukan semangat kental bagi seseorang melepasi ranjau ini dan berkongsi pengalaman mereka. Saya mempunyai alasan sendiri bagi memberitahu wanita lain tentang kebaikan Pap Smear dan vaksinasi. Kini, ramai rakan saya yang mula ambil berat tentang penyakit ini," ujarnya.
Sudah setahun lebih, wanita ini menjalani pembedahan hysterectomy dan dia bersyukur kerana keluarga sentiasa memberi sokongan.
Nasihatnya pada wanita lain, jaga pemakanan, jangan merokok dan lakukan rutin pemeriksaan kesihatan selalu.
''Apabila saya dapat melawan penyakit ini, saya rasa ia menjadi satu titik perubahan dalam hidup saya dan saya mahu menggesa semua wanita untuk mendapatkan perlindungan menerusi pelalian dan ujian Pap Smear bagi menentang penyakit yang memusnahkan ini," katanya.
Genevieve ialah seorang daripada tujuh duta wanita bagi kempen Power Over Cervical Cancer (POCC). Duta POCC yang lain ialah Pamela dan Vanessa Chong (dari siri televisyen Amazing Race Asia musim 2), hos program televisyen Siow Hui Mei dan Rina Omar, Deejay Jay Menon dan pelakon serta personaliti televisyen Sarimah Ibrahim.
Dalam pada itu POCC mengumumkan pelancaran Kempen Cegah Barah Pangkal Rahim Dengan Bergaya Bersama Rakan Karib (BFF) untuk mendidik gadis-gadis dan wanita dalam usaha mereka untuk mencegah barah pangkal rahim. Kempen Cegah Barah Pangkal Rahim Dengan Bergaya Bersama BFF itu menggalak dan menyokong rakan karib mereka - wanita yang mereka kasihi - untuk menyebarkan mesej perlindungan dan mengurangkan risiko barah pangkal rahim.
Sebagai usaha ulung Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Kempen Cegah Barah Pangkal Rahim Dengan Bergaya Bersama BFF diwujudkan untuk mendekati ribuan wanita muda bagi menggalakkan mereka mengurangkan risiko mereka. Untuk mendapatkan sokongan, satu ikrar foto telah diperkenalkan bagi mendapatkan komitmen rakyat Malaysia bagi melindungi rakan karib mereka dalam menentang barah pangkal rahim. Kempen ikrar ini berusaha untuk meninggalkan kesan dalam Malaysia Book of Records dengan menjadi Kolaj Gambar Potret Terbesar.
Bantuan untuk ikrar foto digital itu akan diperolehi dari Roving Pinkies, sepasukan wanita muda yang dinamik, yang akan hadir di kompleks beli-belah terpilih. Ikrar juga boleh dilakukan di laman web POCC (www.pocc.com.my) atau laman Facebook dan akan menjadi tarikan utama pada semua acara umum Kempen Cegah Barah Pangkal Rahim Dengan Bergaya Bersama BFF.
Pelancaran Kempen Cegah Barah Pangkal Rahim Dengan Bergaya Bersama BFF juga menyaksikan perubahan terkini laman web POCC yang mempunyai muka surat interaktif untuk membolehkan antaranya, penghantaran ikrar foto dan cerita. Maklumat komprehensif mengenai barah pangkal rahim, tanda-tanda dan faktor-faktor risikonya dipersembahkan menerusi video yang menarik, manakala soaljawab mengenai risiko dan strategi pencegahan membolehkan pelawat mempelajari mengenai cara mereka boleh melindungi diri masing-masing dan juga orang tersayang.
Previous
Next Post »