Ahad, 3 Oktober 2010

Rosmah cari input bantu remaja hamil luar nikah

Rosmah cari input bantu remaja hamil luar nikah


2010/10/02

KUALA LUMPUR: Penubuhan sebuah pusat perlindungan remaja hamil luar nikah adalah wajar sebagai satu kaedah menangani permasalahan sosial itu yang semakin berleluasa, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. 

Beliau berkata, lawatannya ke Centrum voor Integrale Gezinsgorg (CIG) di Brussels, Belgium pada 5 Oktober ini akan digunakan sepenuhnya bagi mendapatkan pelbagai input untuk merealisasikan hasrat berkenaan yang kemudian akan dicadangkan kepada kerajaan.


“Pusat ini (CIG) diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan Belgium menempatkan remaja hamil luar nikah bagi mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak, khusus untuk mengelakkan kejadian tidak diingini seperti pembuangan bayi dan pengguguran.
“Kebanyakan remaja di sana dihantar ibu bapa mereka sendiri yang tidak mahu menjaga mereka, selain ada yang dihantar atas keputusan Mahkamah Juvana,” katanya selepas pelancaran Buku Sejarah Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), di sini semalam. 

Katanya, penghuni CIG dilatih sepenuhnya mengenai proses penjagaan bayi, selain diberi latihan dan kemahiran sebagai bekalan bagi meneruskan kehidupan selepas meninggalkan pusat itu. 

“Sekembali dari Belgium nanti, saya akan mencadangkan perkara ini kepada kementerian yang berkenaan, tetapi terpulanglah kepada mereka dan kerajaan untuk menimbangkan perkara ini. Cuma pada pendapat saya, kita perlukan pendekatan saintifik serta sistematik untuk atasi masalah ini yang semakin meruncing di negara kita,” katanya. 

Mengulas lanjut, Rosmah berkata, remaja hamil luar nikah harus dilindungi sepenuhnya kerana mereka tidak akan tahu untuk menempuh cabaran hidup tanpa pengetahuan mengenai penjagaan dan perlindungan bayi. 
“Kita mesti ada cara bagaimana untuk memastikan remaja ini mampu terus berdiri untuk survival hidup mereka selepas hamil luar nikah,” katanya.

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...